Dalam kesibukan bekerja di tempat kerja maupun dirumah , aku tekad menanam semangat perlu mencari ilmu walaupun sedikit.
Di sini ku kongsi artikel dari i luv islam yang menarik dan boleh memotivaasikan diri kita:
Setiap manusia mempunyai kelemahannya tersendiri. Ini kerana, "lemah" adalah salah satu sifat makhluk, dan manusia juga adalah salah satu makhluk ciptaan Allah. Tiada seorang manusia pun yang sempurna, sehingga tiada satu pun cacat cela pada sifatnya.
Kelemahan itu adalah perkara yang biasa bagi seorang manusia.. Allah swt tidak pernah memandang kelemahan-kelemahan fizikal ini untuk memilih siapakah hamba-Nya yang wajar dicintai.
Nabi Musa a.s adalah seorang yang gagap. Tetapi, Baginda adalah salah seorang kekasih Allah. Allah swt sangat menyayangi Nabi Musa a.s sehinggakan Allah swt telah menyelamatkan seorang tentera Firaun bernama Jalut daripada lemas di lautan, kerana Jalut ini adalah badut Firaun yang suka meniru gaya Nabi Musa a.s bercakap gagap. Allah swt suka pada Jalut, kerana dia meniru perbuatan kekasihnya.
Bilal bin Rabah r.a adalah seorang hamba yang berkulit hitam. Bukan setakat hitam biasa, malah hitam berkilat. Tetapi, Allah swt sayang padanya. Allah swt telah muliakannya, sehinggakan suara azannya dapat didengari bukan sahaja oleh penduduk bumi, malah, oleh penduduk langit juga. Padahal, (ada riwayat yang mengatakan), suara Bilal bukanlah sedap, ramai lagi sahabat yang bersuara lebih lunak daripada Bilal.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa, kelemahan-kelemahan fizikal sama sekali tidak dapat mengurangkan kasih sayang Allah swt pada seseorang.
Betapa Rahimnya Allah swt, apabila Dia menyayangi seseorang, Dia akan menyayangi kesemua yang ada pada orang itu, walaupun sesuatu yang dianggap sebagai kelemahan. Sekiranya Allah swt yang Maha Sempurna boleh menyayangi seseorang ke tahap itu, apatah lagi kita, hamba-Nya yang sangat lemah lagi hina.
Adakalanya, bila kita melihat kepetahan dan kepandaian anak orang lain, kita berasa rendah diri dan malu dengan kelemahan anak kita. Sebenarnya, kita tidak perlu berasa begitu. Anak kita hanya mempunyai satu atau dua kelemahan sahaja, banyak lagi kekuatan yang ada dalam dirinya. Mengapa kita harus memandang pada kelemahannya sahaja, lihatlah pada kekuatannya.
Sebagai ibu bapa, seharusnya kita fokus dan usahakan atas kekuatan yang Allah swt telah berikan kepada anak kita. Lupakan kelemahannya. Jangan sesekali mentertawakan kelemahannya, menyebut-nyebut kelemahannya di hadapan orang lain, memarahinya kerana kelemahan tersebut. Kerana ia akan menjadikan anak kita hilang keyakinan diri, padahal dia ada banyak kelebihan yang lain. Jadi, mari kita lupakan, lupakan dan lupakan kelemahannya.
Tiada kelemahan yang harus kita risaukan, melainkan seandainya anak kita tidak mempunyai iman dan amal (nauzubillahiminzaalik). Seandainya dia telah mempunyai iman dan yakin yang kuat pada Allah swt dan beramal mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, maka dia sudah pun berjaya di dunia dan di akhirat.
Saya menyayangi semua anak-anak saya (abang Luqman, Nur Hidayah, Nur Amanina , Syukri Hanif, Nur Faraha dan Nur Farhana) dan senantiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka. Semoga Allah membantu mereka dalam mengingati Allah, rasulNya dan kami serta mendoakan kesejahteraan kami di dunia dan akhirat.
Ameeeeeen
No comments:
Post a Comment