Monday, May 21, 2012

RASA KEHAMBAAN


21 Mei 2012
Sempat mencatitkan beberapa intipati dari ceramah dalam Radio IKIM semasa dalam perjalanan balik dari kerja.  Saya kongsikan di sini  diantara maklumat yang sempat saya catitkan dan ditambah dengan maklumat /bahan yang di dapati dari internet.

RASA KEHAMBAAN
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. 
Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.”                                                                                                               (At Taubah: 51)
1)   Merasakan Diri Patut Diuji.

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – 
innalillah wa inna   ilaihi rajiun.
Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.”
(Al Baqarah 156)
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

2)   Merasakan Diri Adalah Peminjam Bukan Pemilik
Kita  hanyalah peminjam dan penerima amanah saja, tidak lebih dari itu, bukan pemilik. Jika anda bukan pemilik, kenapa anda mesti sangat bersedihan dan kecewa apabila barang pinjaman itu diambil balik oleh tuan empunyanya?
Sedarlah hakikat yang sebenar. Allahlah yang memiliki segala-gala. Kita tidak memiliki apa-apa. Kita hanyalah peminjam dan penerima amanah, bukan pemilik. Dengan menyedari siapa diri kita yang sebenar dan tidak rasa memiliki, kita akan tenang dan aman apabila sesuatu itu diambil dari kita, berpisah dengan kita dan kembali kepada tuannya.
Demikian juga, janganlah kita merasakan diri kita dimiliki oleh orang lain. Kita tidak dimiliki oleh ibu bapa kita, adik beradik , keluarga , suami / isteri kita, anak-anak kita. Kita dimiliki oleh Allah. Saat kita menyedari hakikat ini, kita tidak perlu sedih berlebihan apabila kita terpaksa berpisah dengan orang-orang yang kita cintai kerana menuju sesuatu di jalan Allah, umpamanya berpisah untuk merantau dan menuntut ilmu, berpisah untuk keluar berdakwah di jalan Allah, dan berpisah untuk perkara-perkara lain yang menjanjikan keredhaan Allah.
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi..."
 (Surah Al-Baqarah: 284)

"...Kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi..." (Surah Al-Munaafiquun:7)
  Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Hanya dia yang berkuasa memberikan keputusan terhadap diri kita. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk kita lalu memerintahkannya, dan apa yang buruk untuk kita lalu melarangnya.
Apabila Dia memiliki kita, adakah kita punya hak untuk menentang? Setelah seorang tuan memiliki seorang hamba, tugas seorang hamba adalah ikut dan tunduk patuh kepada tuannya dengan ketaatan yang tiada berbelah bahagi.
Maka akan tenanglah jiwa-jiwa yang merasakan dia tidak memiliki, tetapi Allah yang Maha Memiliki. Akan tenanglah jiwa-jiwa yang merasakan dia tidak dimiliki oleh sesiapa pun, kecuali dimiliki oleh Allah. Jiwa orang-orang seperti ini bebas merdeka dari menjadi hamba pemilikan dan hamba manusia.

3)   Tidak Menyalahkan Orrang Lain Apabila Diuji.

Apabila ujian didatangkan , sifat kehambaan akan mencari apa yang telah kita lakukan, apa kesalahan dan dosa kita seterusnya bertaubat dan memperbaiki diri . Apapun ujian yang datang , kita perlu mencari dalam diri bukan di luar atau menyalahkan orang lain. Rasa kehambaan menyebabkan kita tidak merasa takut dengan ujian kerana setiap ujian yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

Firman Allah:
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?
(Surah al-Baqarah: 214)

Ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) menyatakan tentang  hikmah ujian dengan berkata:

“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

4)   Rasa Bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah tetapi memberi ketenangan sementara sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan kekuatan dimana merasa berani, mulia dan kuat.
Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.

Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. 
Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

 Wallahua'lam.

Lebih lanjut layarilah :
2)      http://ayuhkitamaju.wordpress.com/2011/07/13/awas-apabila-merasa-memiliki-dan-dimiliki/
 3) http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1791-pemilikan-hakiki.html


No comments:

Post a Comment

NZ

Assalamualaikum Tulis sini....   Adik Kudin ajak kami join dia travel ke NZ bersama isterinya.  TIdak ikut mana2 pakej  Meloncat happy. Tp n...