Ziarah pertama di Medinah adalah ke Masjid Quba iaitu Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.a.w bersama-sama sahabatnya atas dasar taqwa. Ia merupakan diantara masjid yang termasyhur selain Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid AlAqsa.
Menurut sejarah, pada hari isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan 23 Sept. 622M Rasulullah SAW tiba di perkampungan Quba’ dalam perjalanan hijrah dari Makkah. Baginda tinggal di kampung ini selama 4 hari bersama Bani Amru bin Auf di umah Kalthum bin al-Hadm.
Pada hari pertama itulah Rasulullah SAW terus membina Masjid Quba’, iaitu masjid yang pertama dibina dalam sejarah umat ini. Rasulullah SAW sendiri turut serta dalam pembinaan ini dengan mengangkut batu-bata dan pasir-pasir bersama para sahabatnya.
Setelah siap, Rasulullah SAW mengimami sendiri solat berjamaah secara terbuka bersama para sahabat di Masjid Quba’, berkiblatkan Masjid al-Aqsa pada waktu itu.
Kelebihan masjid ini adalah masjid pertama yang dibina dalam sejarah setelah baginda diangkat menjadi Rasulullah, dibina berasaskan taqwa dan iman. Allah SWT telah mengakuinya sebagaimana firmanNya :
“…sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (at-Taubah : 108)
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW selalu datang ke Masjid Quba’ ini pada setiap hari sabtu sama ada menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang Rasulullah SAW datang pada hari isnin dan khamis.
Tentang masjid ini, Rasulullah SAW ada bersabda :
“Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba’ untuk solat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahla menunaikan umrah” (HR Ibnu Majah).
Selepas wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat sentiasa menziarahi Masjid Quba’ dan bersolat di sana. Zaid bin Aslam berkata : “Segala puji bagi Allah yang telah mendekatkan kita dengan Masjid Quba’. Sekiranya ia berada jauh di hujung dunia, nescaya kami akan bermusafir kepadanya”.
Adalah menjadi kelebihan kepada kita sekiranya kita mempunyai ilmu sebelum mengadakan ziarah supaya ziarah kita tidak sia-sia. Alhamdulilah kami dapat menunaikan solat sunat di sini. Semoga Allah menerima ibadah kami. Dengan doa dan harapan kami akan datang lagi jika dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Ameen
No comments:
Post a Comment