"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di Dunia dan kebaikan di Akhirat, dan Peliharalah kami dari azab Neraka". Doa ku kepada Allah tanpa jemu setiap masa dan ketika.
Tertanya-tanya kepada diri. Apa beza diri ini sekembali dari Tanah Suci Mekah dan diberi kesempatan menunaikan ibadah di sana. Mengharapkan hati dibersihkan Allah daripada sifat2 tercela yang sukar dikawal ada ketikanya.
Apa yang aku perasan adalah rasa benci, geram dan amarah ku dapat dikawal dengan mudah sedangkan selama ini amat sukar bagiku menanganinya. Bersyukur tidak terhingga kepada Allah atas kurniaanya kepadaku. Aku bergurau dengan sahabatku mengatakan bahawa Allah telah memutihkan sedikit hatiku dan aku amat bersyukur kerana ia telah merubah banyak perkara dalam kehidupanku.
MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh.
Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud).
Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari).
Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura ayat 37).
Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:
# Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.
# Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.
# Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.
# Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.
# Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.
# Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.
# Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.
# Amalkan bacaan A'uzubillah himinasyaitaannirrajiim (Aku berlindung kepada Allah s.w.t daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.
No comments:
Post a Comment