Saturday, October 25, 2025
Nostalgia
Cerita 26 Okt 2025
Tuesday, April 8, 2025
Kunjungan yang Meninggalkan Kesan
Assalamualaikum
Kunjungan sahabat baik semasa Hari Raya baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.
Kami adalah rakan sekerja sejak sekian lama. Beberapa kali sebelum ini, dia pernah menyuarakan hasrat untuk berbesan dengan keluarga kami. Namun, setiap kali perkara itu dibangkitkan, kami sering merasakan diri tidak layak. Anak beliau seorang Hafiz, imam, dan memiliki banyak ilmu agama, sedangkan anak kami biasa-biasa sahaja. Maka setiap kali dibincangkan, saya hanya mampu berkata bahawa jodoh anak-anak akan datang pada waktu yang ditentukan oleh Allah.
Namun, kunjungan kali ini amat berbeza. Dengan nada yang tenang, dia memberitahu bahawa doktor telah mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang tahap 4. Dan katanya, dia mungkin hanya ada lebih kurang dua tahun jangka hayat.
Allahu… saya benar-benar terkejut dan tergamam mendengarnya.
Beratnya rasa di hati. Tak sangka dalam senyum dan gurau, ada cerita duka yang dia simpan.
Ya Allah, pinjamkanlah kami semua kesihatan yang baik hingga ke akhir hayat. Berikanlah kekuatan kepada sahabatku menghadapi ujian ini dengan tabah dan redha.
Monday, April 7, 2025
Pesanan Untuk Anak-anakKu
Luqman, Hidayah, Nina, Syukri, Aha & Anna
Assalamualaikum anak-anakku,
Ummi tulis surat ini dengan penuh kasih dan rindu. Perjalanan membesarkan kalian adalah satu kenangan yang paling berharga dalam hidup ummi. Tiada kata yang cukup untuk menggambarkan betapa bersyukurnya ummi kerana dikurniakan kalian—penyejuk mata, penawar hati.
Dari tangisan pertama, ke langkah pertama, hingga ke kejayaan-kejayaan kecil dan besar yang kalian capai, semuanya tersemat indah dalam memori ummi. Setiap peluh, air mata dan doa yang ummi titipkan tidak pernah sia-sia. Hari ini, kalian sudah berdikari, melangkah ke alam pekerjaan dan rumahtangga. Alhamdulillah, ummi bahagia melihat kalian menemui jalan masing-masing.
Anak-anakku, Pesanan ummi, jangan pernah lupakan Allah dalam setiap langkah. Jadilah insan yang jujur, bertanggungjawab, penuh kasih sayang dan sentiasa merendah diri. Hormatilah pasanganmu, jagalah keluarga dengan penuh amanah. Dunia ini hanya sementara, jadi carilah keberkatan dalam setiap perkara yang kalian lakukan.
Ingatlah, doa ummi sentiasa mengiringi kalian. Dalam sujud ummi, nama kalian satu persatu ummi sebut—mohon agar Allah lindungi, berkati dan bahagiakan hidup kalian dunia dan akhirat.
Dengan penuh cinta,