Labbaik Allah humma labbaik
Labbaik lah sharika laka
labbaik
Innal hamda
Wan-ni'mata
Laka walmulk
Laa sharika lak.
O my Lord, here I am at Your
service, here I am.
There is no partner with You,
here I am.
Truly the praise
and the provisions are Yours,
and so is the dominion and
sovereignty.
Nak Mengerjakan Haji atau Umrah.
Apa persiapan yang
perlu kita lakukan..
Dikongsikan hasil
pembacaan saya untuk panduan bersama. Bukan hasil tulisan saya sepenuhnya .
Persiapan Awal Mental Dan Spiritual sebelum
ke Tanah Suci:
1.
Syahadah
Perbetulkan iktikad dalam memaknakan syahadah.
Biar setiap urat dan saraf kita benar-benar merasai getarannya apabila
melafazkan kalimah ‘lailahaillallah muhammadur rasulullah’ kerana Syahadah itu
janji hati kepada Allah
Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada
Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu dan berjuang di jalan Allah
dengan harta dan dirinya, merekalah orang-orang yang benar.” (Surah
Al-Hujuraat: Ayat 15)
2.
Ikhlas Niat
Betulkan
niat dan pastikan niat kerana melaksanakan perintah Allah dan
menharapkan keredhaanNya semata-mata.
Tanamkan
semangat dengan perasaaan tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari
segala tekanan duniawi yang akan memberatkan fikiran sepanjang perlaksanaan
haji.
Dari
Amirul mu’minin Umar bin Al-Khotthob rodiallahu’anhu, ia berkata, “Aku
mendengar Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya amalan-amalan itu
berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan,
maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah
kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana untuk menggapai
dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang
dihijrahi.
(Hadis
Riwayat Al-Bukhari r.a.)
3. Tingkatkan Amalan
Latihlah
diri sebelum berangkat ke tanah dengan melakukan amalan-amalan seperti
berzikir, membaca Al-Quran, qiamullai, bertafakkur, bersedekah (wang, harta,
tenaga, lisan) dan sebagainya. Latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang
panjang.
Maka perlulah dipertingkatkan semua amalan
tersebut dengan harapan dapat melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak.
4. Muhasabah Diri
Perbanyakkan istighfar dan sentiasa melakukan
Qiamullail seperti melakukan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Tahajud, Taubat dan Hajat untuk
membantu kita bermunajat kepada Allah
Mengetahui
sikap negetif dan pupuklah diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan berusaha
membuang sifat-sifat yang buruk dan tercela.
5. Taubat Nasuha
Bertaubat
atas kesemua dosa dan kelalaian kita terhadap suruhan Allah serta meninggalkan
segala yang makruh dan perbuatan-perbuatan mungkar. Lakukan Solat Taubat dan
memohon keampunan kepada Allah
Jika
seseorang itu bertaubat daripada dosa kepada Allah, maka hendaklah memenuhi
syarat-syarat Taubat Nasuha :
Menyesal
atas segala perbuatan dosa.
Segera
meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
Berazam
tidak akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
Jika
berdosa kepada sesama insan, maka hendaklah memohon maaf dari orang tersebut
dan jika dia mengambil hak seseorang, maka hendaklah dia memulangkan hak mereka
itu.
6. Perbaiki Kualiti Solat
Tingkatkan kualiti solat terutama mutu bacaan
dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul.
Rasulullah
bersabda: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
Memperbanyakkan
solat sunat adalah antara langkah memperbaiki kualiti dan menambah kekhusyukan
solat fardhu kita. Dalam solat juga terdapat zikir dan doa yang kita pohonkan,
maka berdoalah dengan khusyuk dan yakin, bukan dengan sambil lewa.
7. Banyakan Berpuasa
Puasa dapat menundukkan nafsu dan menjadi
perisai nafsu manusia, maka perbaikilah kualiti puasa fardhu kita dan
banyakkanlah berlatih dan melakukan puasa sunat. Sekiranya ada puasa yang belum
diqadha atau dikeluarkan fidyahnya, tunaikanlah semampu mungkin. Begitu juga
dengan puasa nazar yang belum ditunai, maka laksanakanlah secepat mungkin.
8. Belajar Bersabar
Sifat sabar amat diperlukan dalam melaksanakan
ibadah haji, Sikap ini bahkan mulai diuji sebaik seseorang memutuskan untuk
berangkat ke tanah suci. Semua urusan memerlukan kesabaran, baik pada menunggu
giliran haji, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran, mengikuti manasik haji dan
sebagainya.
Di
tanah suci sendiri, ketika berkumpulnya jutaan jemaah dengan pelbagai ragam,
tabiat dan kebiasaan yang berbeza dan akan ada saja perilaku yang boleh
menimbulkan kemarahan jemaah.
Bersabarlah demi ketaatan kita kepada Allah
9. Kawal Emosi
Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan
suami atau isteri atau anak atau sahabat kita sendiri. Ada kalanya pertengkaran
antara suami atau isteri dan sebagainya akan sering berlaku apabila tidak
dikawal dengan rasa sabar dan syukur.
Adakalanya
di tanah suci, hati kita terdetik berkenaan sesuatu, ia akan berlaku tanpa
disedari, maka belajarlah sejak di tanah air lagi agar mengawal perasaan,
sentiasa berfikiran positif dan bersifat husnuzon.
Jauhilah sikap suka mengkritik
segala perkara atau sering merungut akan
sesuatu yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah yang mahu melihat
akan tahap amarah dan kesabaran kita.
10. Jihad Kasih Sayang
Sebagai
wanita jarak perpisahan terutama
terhadap anak dan keluarga memberi impak kepada emosi dan perlakuan.
Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Allah.
Memohon
dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk
membantu urusan ahli keluarga yang ditinggalkan.
Rasulullah
bersabda: “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah
haji dan umrah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.).
11. Tolong-Menolong
Tolong
dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan kecuali redha Allah semata-mata.
Percayalah
bahawa orang-orang yang banyak membantu orang lain dengan ikhlas, segala
urusannya akan menjadi mudah dan lancar, dan ajaibnya dia akan terhindar dari
pelbagai kesukaran.
Rasulullah
bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang
paling baik budi pekertinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari r.a.).
12. Berinfak Dan Bersadaqah
Lakukan infak dan sedekah dengan hati yang
ikhlas. Bersedekah bukan terhad kepada harta dan wang ringgit sahaja, anggota
badan, tenaga empat kerat, lisan dan senyuman turut boleh disumbangkan dalam
kehidupan seharian. Bersedekahlah membantu orang-orang miskin dan mereka yang
memerlukan yang ditemui ketika dalam pejalanan atau jiran-jiran kita bagi
melatih diri menjadi pemurah dan melembutkan hati.
Allah
berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua
harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu
bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan
orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu
buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya
(dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 215)
Hadis
riwayat Asma binti Abu Bakar ra., ia berkata: Rasulullah bersabda kepadaku:
“Berinfaklah atau memberilah dan jangan menghitung-hitung, kerana Allah akan
memperhitungkannya untukmu.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
13.
Hindari Riyak
Elakkan diri dari perasaan riak, ingin dipuji,
takbur, sombong merasa hebat, ingin bergelar dan dipanggil haji atau hajah.
Berserahlah sepenuhnya kepada Allah dan
lakukan semuanya itu dengan taqwa.
Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan
rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang
membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan
ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu
ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa
hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).” (Surah
Al-Baqarah: Ayat 264)
14.
Memahami Sifat-Sifat Mahmudah Dan Mazmumah
Mengetahui dan memahami sifat-sifat yang terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah
diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang
tercela.
Jaga tiga perkara; Mulut,
Telinga dan Mata.
Selalu
ingat amalan kerana Allah,
Dan
dari Wabishah bin Ma’bad rodhiallohu ‘anhu dia berkata: “Aku datang kepada
Rasulullah,
Baginda
bersabda, “Apakah kamu datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata,
“Ya.” Baginda bersabda “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang
menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan
jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus
membenarkanmu.”
(Hadits
hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam
Ad-Darimi dengan sanad hasan).
15.
Meminta Maaf
Mohon maaf kepada orang ibu bapa, suami
isteri, anak-anak, saudara-mara, keluarga dan kaum kerabat. Bermaaf-maafan
sesama kaum muslimin tidak kira saudara, sahabat atau jiran tetangga samada ada
berbuat salah atau tidak dan minta maaf daripada semua orang yang pernah kita
lakukan kesalahan terhadap mereka.
Begitu
juga, jika kita ada menzalimi orang, terambil harta orang, hendaklah
dipulangkan harta tersebut, atau kita minta supaya dihalalkan.
Rasulullah
bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah
diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang
ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan)
yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang
itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
16. Keredhaan Ibu Bapa &
Suami
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibu bapa
dan suami, walaupun tidak sewajarnya ibu bapa atau suami melarang
anak/isterinya daripada ibadat haji yang wajib.
Rasulullah
bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah
terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadits Riwayat At-Tirmidzi r.a.).
17. Teman Perjalanan
Mencari
teman dan rakan yang baik dalam perjalanan. Teman yang sama-sama berusaha untuk
meningkatkan amalan dan mendapat keredhaan Allah.
18.
Bersangka Baik Kepada Allah
Baik
sangka, menurut Abu Muhammad al-Mahdawi, adalah membuang prasangka buruk
Dari
Abu Hurairah r.a., ia berkata : Rasulullah bersabda : “Allah berfirman : “Aku
menurut sangkaan hambaKu kepadaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
Dari
Jabir bin Abdillah ra bahwa ia mendengar Rasulullah berkata tiga hari sebelum
wafatnya : “Jangan seorang di antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka
kepada Allah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Orang
yang beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya
sama ada baik atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah. Jika kita
bermohon kepada Allah, maka hendaklah bersangka baik jika apa yang diharapkan
tidak terlaksana. Mungkin Allah mahu beri yang lebih baik lagi.
Firman
Allah:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia
amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat
buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah
al-Baqarah, ayat 216)
19. Istiqamah
Istiqamah sangat
penting dalam semua hal: berbuat kebaikan, menjauhi larangan dan
mempertingkatkan amalan dan niat itu hendaklah ikhlas kerana Allah
Rasulullah
telah bersabda: “Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang sentiasa dilakukan
walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
20. Bekalan Taqwa
Segala persediaan dari kelengkapan “material”
seperti wang ringgit, tempat penginapan, makan-minum jika tidak disertai dengan
bekalan taqwa, maka dibimbangi ibadah haji dan umrahnya itu akan hilang dari
matlamat asalnya iaitu kerana Allah
Firman
Allah:
“Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya,
sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.” (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat -197)
Abdullah
bin Umar r.a. apabila melihat rombongan haji sedang melalui satu jalan, beliau
berkata: “Pada hari ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan
pengembara-pengembara semakin bertambah ramai.”
Maksud
beliau adalah, kekasih Allah yang sebenar semakin berkurangan sementara mereka
yang tidak ikhlas telah bertambah dengan ramainya. Beliau menyeru ke arah
sederhana dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Rasulullah bersabda:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, di
mana naik haji umat aku kerana 4 perkara:
Orang
kaya naik haji kerana melancong.
Orang pertengahan naik haji kerana beniaga.
Orang miskin naik haji kerana meminta-minta.
Orang Qari dan Ulama naik haji kerana
riya’dan nama.”
(Hadis
Riwayat Ad Dailamy)
21. Tawakal
Tanam
dalam diri dengan sifat bertawakal sebelum berangkat ke tanah suci bagi
menghadapi pelbagai kerisauan, kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam
urusan ibadah Haji dan Umrah, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini
dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan
bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata.
Menurut
pendapat Imam Ghazali r.a: “Tawakal membawa erti bahawa kita menyerahkan diri
kepada Allah sewaktu menghadapai kesusahan atau ketika menghadapi waktu yang
sukar dan genting dalam hidup ini. Pada ketika ini, hati perlu di teguhkan
seteguh-teguhnya sehingga ia mencapai satu titik ketenangan dan ketenteraman di
dalam jiwa.”
Penutup
Semoga
usaha kita dengan mempertingkatkan amalan, istiqamah, redha dan menyucikan hati
juga jiwa menyebabkan perjalanan rohani ini boleh berjalan dengan baik dan
lancar serta berharap ibadah hajinya mendapatkan redha Allah dan menjadi haji
yang mabbur sebagaimana sabda Rasulullah:“Haji yang mabrur tiada ganjarannya
yang sesuai melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)
Credit
to;
https://shafiqolbu.wordpress.com/2013/09/30/21-persiapan-dan-persediaan-awal-mental-dan-spiritual-sebelum-pergi-menunaikan-ibadat-haji-dan-umrah-ke-tanah-suci/#more-7644